Sunday, December 30

Sketsa 2007

Sedari, kini sketsa 2007 dihujung babak terakhirnya. Pementasan 2007 sarat dengan kisah duka, menjadi bahan tontonan yang sungguh dramatis. Siri pembunuhan berani mati dikalangan umat Islam di seluruh dunia, bencana alam di setiap pelusuk bumi, pemberontakkan demi pemberontakkan dan kenaikan harga petrol yang amat tinggi menjadi sembilu setiap kali saya menonton sketsa 2007.

Sehingga saya tidak sedar, disebalik kisah duka itu, dilakonkan juga beberapa babak yang penuh kegembiraan. Entahlah, sebagai penonton saya amat cuai kerana tidak dapat mengimbas kembali babak gembira dalam sketsa 2007. Hanya kisah Dr. SMS, angkasawan pertama ke ISS dan kenaikan gaji bagi semua pegawai kerajaan memberikan secalit kegembiraan bagi 2007. Selebihnya…penuh duka.

Pembunuhan penuh tragis Nurin Jazlin, bah teruk di Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan, perhimpunan haram Hindraf, gelombang kuning, kes Raja Munirah dan Umi Alzim, helikopter Nuri yang terhempas, kematian perajurit semasa latihan LIMA, kenaikan harga barang yang mendadak dan kemerosotan kualiti pendidikan tinggi adalah antara kisah duka 2007 yang terlintas di minda saya sekarang.

Mungkinkah, sketsa 2008 akan menceritakan kisah-kisah gembira dan merawat luka-luka 2007. Sesungguhnya, saya rasa keadaan dunia sekarang ini seperti seorang datuk tua. Semakin lanjut usianya, semakin banyak penyakit yang dihidapinya. Penyakit-penyakit itu pula, sukar diubati kerana ketahanan badannya sudah lemah. Dengan itu, saya menjangkakan sketsa 2008 akan membuka tirai dengan azam yang julang tinggi tetapi tetap berakhir dengan tangisan. Bukannya saya berfikiran negatif tetapi sikap kita semakin mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Renung-renungkanlah…

1 comment:

david santos said...

I wish you a good end of 2007 and a good year of 2008.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...