Monday, January 28

Jom beli batik!

Mari…mari…
Tengok batik,
Kalau suka, boleh beli.
Harga, boleh runding.

Kalaulah saya berasal dari Kelantan atau Terengganu, rasanya sekarang ni saya tengah sibuk jadi ejen jual kain batik.

Sejak kerajaan mengeluarkan pekeliling bagi pemakaian baju batik setiap hari khamis, cikgu-cikgu tak sudah sembang tentang baju batik. Ada yang menempah baju batik daripada cikgu dari Terengganu, ada yang mencadangkan buat baju batik boria dan ada yang membanding-bandingkan corak batik. Misalnya hari ini, seorang jurujual kain batik datang ke sekolah untuk menunjukkan beberapa sampel corak kain batik untuk baju batik boria. Sambil menunjukkan sampel, laku juga dua tiga pasang kain untuk baju batik.

Sebenarnya saya rasa janggal untuk memakai baju batik pergi mengajar. Sebab pada pendapat saya, baju batik terlalu cantik dan mahal untuk ke kelas. Lagipun, kainnya yang bersinar-sinar membuatkan saya rasa macam nak pergi ke kenduri kahwin ataupun majlis rasmi. Malah, fabrik kain batik yang senang berkedut dan sukar pula untuk diseterika menyebabkan saya agak keberatan untuk pakai baju batik.

Tapi perkeliling dah pun dikeluarkan. Niat kerajaan baik, untuk bantu pengusaha batik agar lebih maju. Lagipun, batik adalah salah satu lambang kraftangan Malaysia. Malah, jika dilihat secara kasar, pegawai kerajaan memang suka bergaya. Jadi tak salah jika kerajaan minta pegawainya untuk memakai baju batik pada hari Khamis.

Saya pun bercadang nak menambah koleksi baju batik. Tapi saya tak nak beli kain batik daripada fabrik sutera cina. Cadangnya nak beli kain batik daripada fabrik sifon, sebab trend sekarang baju daripada kain sifon. Bahkan, fabrik sifon lebih senang diuruskan berbanding sutera dan tak bersinar-sinar. Cuma kain sifon ni lebih mahal daripada kain sutera cina yang banyak dipasaran. Jika batik daripada fabrik sutera berharga RM180, batik daripada fabrik sifon berharga RM220. Kemudian, kena beli lining pula, sebab kain sifon agak jarang. Tapi, jika diikutkan, lebih jarang kain sifon itu, lebih berkualiti, sebab tenunannnya lebih halus.

Ahkir kalam, belilah batik Malaysia, dan jangan lupa, hari Khamis pakai baju batik

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...